TUMPAH DARAH KETIKA BERSALIN


Assalamualaikum wbt.

Proses kelahiran adalah perkara yang tidak boleh dipandang remeh kerana proses ini melibatkan nyawa ibu dan juga anak yang dikandung selama 9 bulan. Setiap ibu mengandung pasti tahu akan risiko yang bakal dihadapinya semasa melahirkan anak. Antara risiko yang paling bahaya adalah tumpah darah ketika atau selepas bersalin.




Alhamdullilah, saya selamat melahirkan anak lelaki pada 17.4.2020 (Jumaat, 7.34pm) secara normal. Untuk pengalaman bersalin kali ini, saya mengalami sendiri kejadian tumpah darah sejurus selepas bersalin. Saya tidak mempunyai sebarang masalah semasa mengandung, tiada darah tinggi, anemia mahupun diabetes, dan juga ketika melahirkan anak, saya hanya mengambil masa 45 minit untuk meneran. Tiada masalah ketika uri dikeluarkan.

Menurut nurse dan doktor, tumpah darah ini berlaku disebabkan rahim saya tidak mengecut secara normal. Doktor terpaksa menyalurkan oxytocin di kedua-dua belah tangan saya kerana pendarahan tidak berhenti. Bagi saya, proses menghentikan pendarahan dan mengecutkan rahim secara manual ini adalah sangat perit dan sakit. Nurse terpaksa membuat urutan pada bahagian abdomen saya untuk mengeluarkan darah dan stimulate pengecutan rahim sementara doktor bertungkus lumus  menghentikan pendarahan dengan memasukkan pad kain (seperti cawat dipakai oleh ibu selepas bersalin di labour room) di dalam vagina saya. Pada masa yang sama, doktor kesan rahim saya agak kebawah. Saya teringat akan ketulan seperti bola di pembukaan vagina saya (klik Ketulan seperti bola di vagina). Adakah itu puncanya?. Apa yang saya pasti ketika itu, doktor mula menolak rahim saya ke tempat yang asal dengan memasukkan tangannya ke dalam vagina. Terasa agak nyilu dan senak berkali-kali gandanya. Semuanya saya dapat rasa dan lihat secara langsung.

Apa perasaan saya ketika itu? Letih, sakit, mengantuk dan takut. Saya mengalami keletihan yang melampau akibat dari kehilangan darah yang banyak ditambah pula dengan keletihan selepas meneran dan mengharung sakit contraction ketika bersalin. Proses ini berlangsung selama lebih kurang 1 jam. 

Oxytocin disalurkan melalui tiub ini

Rasa sakit belum terhenti disitu, saya terpaksa menghadap sakit dijahit pula. Disebabkan vagina terpaksa digodek untuk mengeluarkan darah beku, naikkan rahim dan masukkan pad kain berulang kali, luka pada perinium makin bertambah. Kali ini, saya dapat merasakan sendiri betapa banyak luka yang perlu dijahit. Banyak! Sehinggakan saya sendiri tidak dapat berjalan dan memerlukan bantuan orang lain untuk bangun dari katil. 

Saya ditahan di labour room selama 2 jam  (8.30pm-10.30pm) kerana keadaan saya perlu dipantau rapi. Tak silap saya, pad kain ataupun cawat ditukar sebanyak 2 kali kerana dipenuhi dengan darah. Setiap 30 minit, nurse akan datang pantau tekanan darah dan abdomen saya. Berkali-kali abdomen diurutnya sehingga saya dapat rasa darah keluar seperti air suam-suam kuku yang mengalir. Keadaan bahagian abdomen saya (dari pusat ke ari-ari) ketika itu amat keras dan tidak lembut seperti biasa. Apabila ditanyakan pada nurse, nurse kata normal sebab rahim masih mengembang dan darah masih belum habis keluar.

Mana bayi? Ketika proses menghentikan darah, bayi dibawa ke wad PAC buat sementara waktu. Saya sempat melihatnya sejurus selepas bersalin. Seperti biasa, doktor akan tanya jantina bayi terlebih dahulu dan skin to skin contact antara ibu dan bayi. Pada pukul 10pm, nurse membawa bayi kepada saya untuk menyusu. Disebabkan factor oxytocin, pengeluaran susu agak terbantut. Cuma sebab utama diberi direct breastfeed ketika itu untuk melatih mulut bayi bagi melekap dengan baik. Alhamdullilah, anak saya boleh menyusu dengan teknik yang betul.

Pengalaman tumpah darah ini akan saya ingat sampai bila-bila. Kes tumpah darah ini mengakibatkan penurunan Hb saya dari 12 (result akhir ketika mengandung) ke 8.5 (selepas bersalin). Saya anggap rasa sakit dan perit ini adalah salah satu penghapus dosa saya terdahulu dimana hanya Allah sahaja mengetahuinya. Apa yang saya pelajari ketika menghadapi proses bersalin seperti meneran dan menghadapi contraction bersalin, sentiasa mengucap kalimah Allah, dan tidak berhenti berzikir La Hawla Wala Quwwata illa billah (tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). InshaAllah, allah akan permudahkan segala-galanya dengan jalan yang di redhaiNya.

Comments

Popular Posts